Boeing terima tempahan dari India

Boeing terima tempahan dari India

pg18_151001_c

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) – Boeing menerima tempahan untuk 22 helikopter Apache dan 15 Chinook dari India bagi meningkatkan keupayaan negara itu dalam pelbagai misi ketenteraan dan kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan Rabu, Boeing berkata Kementerian Pertahanan India telah memuktamadkan tempahannya dengan Boeing untuk pengeluaran, latihan dan sokongan bagi helikopter Apache dan Chinook.

Presiden Boeing India, Pratyush Kumar berkata India akan menerima 22 helikopter penyerang Apache AH-64E dan 15 helikopter pengangkut Chinook CH-47F. Kedua-duanya membabitkan model terbaharu, katanya. Beliau berkata ini merupakan kejayaan penting komitmen Boeing di India.

“Pemerolehan ini akan meningkatkan keupayaan Tentera Udara India dan memberikan kami peluang untuk mempercepatkan lagi pengeluaran ‘Buatan India’. “India adalah negara ke-14 dan 15 yang memilih Apache dan Chinook,” katanya. Pratyush berkata sebahagian besar badan pesawat Chinook sudah pun dihasilkan di India, dan perbincangan sedang dijalankan dengan rakan-rakan Boeing India untuk menghasilkan bahagian Apache.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Bahagian Lif Menegak Boeing, David Koopersmith, berkata pesawat baharu itu akan menyediakan keupayaan bertaraf dunia untuk memenuhi misi Tentera Udara India hari ini, esok dan pada masa hadapan.