Boeing unjur permintaan 3,750 pesawat baharu

Boeing unjur permintaan 3,750 pesawat baharu

SINGAPURA, 15 Feb – Boeing mengunjurkan permintaan sejumlah 3,750 pesawat baharu bernilai AS$550 bilion daripada rantau Asia Tenggara bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Naib Presiden Jualan Asia Pasifik dan India, Boeing Commercial Airplanes, Dinesh Keskar berkata daripada jumlah itu, 76 peratus atau 2,850 pesawat adalah bagi memenuhi pertumbuhan, manakala 24 peratus atau 900 pesawat lagi untuk tujuan penggantian.

Beliau berkata penyerahan baharu tersebut akan turut menyaksikan permintaan terbesar terhadap pesawat satu lorong seperti Next-Generation 737 dan pesawat baharu 737 MAX.

“Asia Tenggara terus menjadi pasaran yang semakin berkembang dan kami yakin dengan rantau ini,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media di sini sempena Pertunjukan Udara Singapura dwitahunan yang bermula esok. Beliau berkata permintaan turut dipacu oleh pasaran seperti Vietnam, Myanmar dan Indonesia.

Keskar berkata unjuran itu, yang meliputi tempoh dari 2015 hingga 2034, akan menyaksikan syarikat penerbangan menambah kapasiti dan menyesuai kepada model perniagaan baharu seperti semakin banyak syarikat penerbangan tambang rendah. – Bernama