Boeing unjur permintaan 38,050 pesawat baru

Boeing unjur permintaan 38,050 pesawat baru

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – Boeing mengunjurkan permintaan sebanyak 38,050 pesawat baru bernilai AS$5.6 trilion dalam tempoh 20 tahun akan datang, dengan pasaran Asia, termasuk China, mendahului tempahan pesawat.

“Pasaran pesawat komersial terus kukuh dan berdaya tahan,” kata Randy Tinseth, Naib Presiden Pemasaran, Boeing Commercial Airplanes. Unjuran ini merupakan peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding unjuran tahun lepas.

“Untuk masa hadapan, kami menjangkakan pasaran akan terus berkembang dan permintaan untuk pesawat baharu akan lebih mantap,” katanya pada satu taklimat media hari ini.

Beliau berkata Asia akan menerima 14,330 pesawat dalam tempoh dua dekad seterusnya, termasuk China, diikuti Amerika Utara dengan 7,890 pesawat, Eropah (7,310), Timur Tengah (3,180), Amerika Latin (3,020), Afrika (1,170) dan Komanwel Negara-negara Merdeka (1,150).

Pada akhir tempoh unjuran itu, Tinseth berkata kumpulan pesawat komersial akan meningkat dua kali ganda, daripada 21,600 pesawat pada 2014 kepada 43,560 pada 2034.

Naib Presiden Pemasaran, Boeing Commercial Airplanes, Randy Tinseth.
Naib Presiden Pemasaran, Boeing Commercial Airplanes, Randy Tinseth.

“Lima puluh lapan peratus daripada 38,050 pesawat yang diserahkan dalam tempoh itu adalah untuk menampung pertumbuhan, dengan 42 peratus untuk penggantian pesawat,” katanya.

Trafik penumpang akan terus berkembang kira-kira 4.9 peratus kadar tahunan, hampir kepada trend lima peratus, manakala lebih daripada tujuh bilion penumpang akan terbang pada akhir tempoh unjuran itu. Trafik kargo akan berkembang pada kira-kira 4.7 peratus setahun.

Beliau berkata pasaran pesawat satu lorong paling cepat berkembang, segmen terbesar keseluruhan, memerlukan 26,730 kapal terbang dalam tempoh dua dekad akan datang.

Jet serantau, dengan 90 kerusi dan ke bawah, bakal menyaksikan 2,490 penghantaran, berbadan kecil 4,770, badan lebar sederhana 3,520 dan berbadan lebar besar 540.

“Antara 2013 dan 2014, hampir semua pertumbuhan kapasiti diperlukan untuk menampung kekerapan dan penerbangan terus. Inilah yang diperlukan penumpang, bukannya kapal terbang yang lebih besar,” katanya. Ditanya sama ada pasaran untuk pesawat berbadan lebar besar seperti Boeing 747-8 dan A380 Airbus sudah berakhir, Tinseth berkata: “Ia merupakan segmen pasaran yang terlebih unjur, kami akan terus membuat perubahan dalam unjuran kami bagi mencerminkan realiti pasaran, namun kami percaya 747-8 masih ada peranan dan kami yakin ke atas masa depannya.”

Beliau berkata pesawat satu lorong adalah asas kepada kumpulan syarikat penerbangan di dunia, membawa sehingga 75 peratus penumpang atau lebih daripada 70 peratus daripada laluan penerbangan komersial dunia.