Boeing unjur permintaan China bernilai AS$1 trilion

Boeing unjur permintaan China bernilai AS$1 trilion

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Boeing, pembekal utama pesawat komersial bagi China, menjangka permintaan dari negara itu berjumlah 6,810 pesawat baharu bernilai AS$1.025 trilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Ini menjadikan negara itu pasaran penerbangan berjumlah trilion dolar yang pertama bagi Boeing.

“Memandangkan China mengalami peralihan kepada ekonomi yang lebih berasaskan pengguna, penerbangan akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi.

“Oleh kerana perjalanan dan pengangkutan adalah perkhidmatan utama, kami menjangka dapat menyaksikan trafik penumpang berkembang 6.4 peratus setiap tahun di China dalam tempoh 20 tahun akan datang,” kata Randy Tinseth, Naib Presiden Pemasaran Boeing Commercial Airplanes.

Dalam laporan tahunan Prospek Pasaran Semasa China (CMO) yang dikeluarkan pada Selasa, pengeluar pesawat itu juga meramalkan bahawa negara itu memerlukan 5,110 pesawat satu lorong baharu sehingga 2035, yang mewakili 75 peratus daripada jumlah penghantaran baru.

Gambar fail bertarikh 23 September 2015 menunjukkan sebuah pesawat Boeing 737 Air China apabila Presiden China Xi Jinping (Kanan, di podium) berucap di sebelah Ray Conner (Kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, dan Dennis Muilenburg (Dua, Kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Boeing, selepas lawatannya di bahagian pemasangan pengeluar pesawat itu di Everett, Washington. – AFP
Gambar fail bertarikh 23 September 2015 menunjukkan sebuah pesawat Boeing 737 Air China apabila Presiden China Xi Jinping (Kanan, di podium) berucap di sebelah Ray Conner (Kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, dan Dennis Muilenburg (Dua, Kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Boeing, selepas lawatannya di bahagian pemasangan pengeluar pesawat itu di Everett, Washington. – AFP

Syarikat penerbangan tambang murah dan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh telah menambah pesawat dan meluaskan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan perjalanan pelancong perniagaan dan permintaan daripada kelas menengah yang semakin meningkat di China dan di seluruh Asia.

Boeing mengunjur permintaan pesawat berbadan lebar akan naik tiga kali ganda dari segi saiz, setelah 1,560 pesawat baharu diperlukan seperti 787, 777 dan 777X.

Unjuran tahun ini mencerminkan peralihan berterusan daripada pesawat besar kepada pesawat cekap yang kecil dan sederhana.

“Pengembangan berterusan kelas menengah China, ditambah dengan dasar visa baru dan pelbagai pesawat berangka besar dengan teknologi baru, keupayaan dan kecekapan, memberi kelebihan kepada kami untuk menjangka masa depan yang cerah untuk pasaran jarak jauh China,” kata Tinseth.

Di seluruh dunia, Boeing menjangka pelaburan sebanyak AS$5.9 trilion untuk 39,620 pesawat komersial baharu yang akan diserahkan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Sementara itu, China mempunyai peranan penting dalam setiap model pesawat komersial semasa Boeing, Next-Generation 737, 747, 767, 777, dan juga pesawat berteknologi paling canggih, Dreamliner 787.

Lebih 9,000 pesawat Boeing terbang di seluruh dunia. – Bernama