BoJ tidak potong kadar faedah

BoJ tidak potong kadar faedah

TOKYO, 29 Julai – Saham Tokyo meningkat hari ini dengan pemberi pinjaman didorong oleh keputusan Bank Jepun (BoJ) supaya tidak memotong kadar faedah dalam julat negatif, yang mungkin menjejas keuntungan mereka.

Selepas spekulasi berminggu-minggu lamanya bahawa bank pusat akan mempertingkat program perangsangnya, penggubal dasar hanya membuat beberapa penyelarasan kecil.

Ia berkata ia akan menambah pendedahannya kepada aset yang lebih berisiko sebanyak hampir dua kali ganda kepada pembelian tahunan dana perniagaan tukaran berjumlah enam trilion yen – sekuriti yang dikaitkan dengan indeks saham atau pelaburan lain yang diniaga seperti saham biasa.

Pengumuman itu mendorong dolar merosot di bawah 103 yen pada satu ketika sebelum berpulih sedikit untuk mencecah 103.58 yen pada lewat hari ini.

Indeks Nikkei 225, yang merosot hampir dua peratus sejurus selepas pengumuman, berakhir naik 0.56 peratus, atau 92.43 mata, pada 16,569.27. Dalam tempoh seminggu ia merosot 0.35 peratus.

Indeks Topix semua saham bahagian pertama meningkat 1.20 peratus, atau 15.74 mata, kepada 1,322.74, merosot 0.36 peratus sejak Jumaat lalu.

“Pasaran telah menjangkakan lebih daripada apa yang diumumkan oleh BoJ hari ini, yang mencetuskan sedikit kekecewaan dan membawa kepada pertambahan yen,” kata Yosuke Hosokawa, ketua kumpulan jualan forex di Bank Amanah Sumitomo Mitsui. “Ia menunjukkan had maksimum untuk dasar mata wang.”

Bagaimanapun, bank adalah pemenang besar tatkala BoJ memutuskan tidak memotong kadar faedah selanjutnya. Pemberi pinjaman Jepun telah mengadu bahawa dasar kadar negatif BoJ sedang menjejaskan margin mereka.

Saham Kumpulan Kewangan Mitsubishi UFJ bertambah 7.72 peratus kepada 522 yen, sementara Kumpulan Kewangan Sumitomo Mitsui melonjak 7.75 peratus kepada 3,308 yen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA