Bojan tambah derita Swansea

Bojan tambah derita Swansea

SWANSEA, Wales, 21 Okt – Bojan Krkic menyempurnakan penalti sekali gus memberikan kemenangan 1-0 Stoke City ke atas Swansea City, semalam.

Krkic melaksanakan tugas mengambil penalti dengan baik pada minit keempat di Stadium Liberty selepas Ashley Williams mengasari bekas penyerang Barcelona itu.

Jaringan kedua pemain itu musim ini memastikan skuad kendalian Mark Hughes meraih kemenangan ketiga aksi Liga Perdana Inggeris dan melonjakkan pasukan itu ke tangga ke-11 selepas gagal menang enam perlawanan awal.

Sebagai perbandingan, Swansea kini mengharungi enam aksi tanpa menang sejak kejayaan gemilang mengatasi Manchester United.

Kesilapan pemain tengah Swansea, Jack Cork membolehkan Krkic membuat larian ke kotak penalti Swansea ketika permainan baru memasuki minit keempat.

Aksi Bojan Krkic (tengah) dan pemain Swansea City, Jack Cork ketika bersaing mendapatkan bola pada perlawanan Liga Inggeris di Stadium Liberty, Swansea, Wales. – Agensi
Aksi Bojan Krkic (tengah) dan pemain Swansea City, Jack Cork ketika bersaing mendapatkan bola pada perlawanan Liga Inggeris di Stadium Liberty, Swansea, Wales. – Agensi

Krkic melepasi kawalan Federico Fernandez dan cuba memperdaya pertahanan Wales, Williams sekali gus memaksa pemain itu menjatuhkannya dalam kotak penalti.

Tandukan Bafetimbi Gomis hasil hantaran lintang Cork tersasar tetapi Stoke hampir menerima padah apabila penjaga gol England, Jack Butland (gambar) melakukan kesilapan ketika mempertahankan gawangnya.

Dia tidak sempat mengeluarkan bola hantaran ke belakang yang dilakukan Geoff Cameron sebelum dirampas Andre Ayew tetapi Butland dilihat melakukan kekasaran ke atas penyerang Swansea itu dalam usahanya merampas semula bola.

Pengadil Robert Madley menganggap tindakan But-land itu wajar walaupun cuba dibantah pemain Swansea. – AFP