Boko Haram dedah rakaman jenayah culik pelajar wanita

Boko Haram dedah rakaman jenayah culik pelajar wanita

KANO, Nigeria, 15 Ogos – Boko Haram semalam mengeluarkan satu video baru yang menunjukkan beberapa pelajar perempuan Nigeria diculik dari Chibok lebih dua tahun lalu, dan meminta pejuangnya yang ditahan supaya dibebaskan.

Kerajaan berkata ia sedang berhubung dengan mereka yang didakwa berada di sebalik video tanpa tarikh itu, yang menunjukkan sekumpulan budak perempuan dalam pakaian Islam berdiri atau duduk di sekeliling lelaki bertopeng bersenjatakan dengan senapang patah.

Filem itu dikeluarkan beberapa hari selepas ketua Boko Haram Abubakar Shekau menyangkal dakwaan mengatakan beliau telah diganti sebagai pemimpin kumpulan jihad di Nigeria itu.

Penculikan beramai-ramai 276 pelajar perempuan dari Chibok pada April 2014 mencetuskan kemarahan global dan mengalih tumpuan kepada Boko Haram dan kempen berdarahnya untuk menubuh sebuah negara fundamentalis di timur laut Nigeria.

Seorang lelaki memakai pakaian samaran dalam video meminta kerajaan supaya membebaskan pejuang Boko Haram sebagai tukaran kepada pelajar perempuan itu.

Penyelaras ‘Bring Back Our Girls’, Prof. Obby Ezekwesili (kiri), menangis ketika cuba untuk memujuk Esther Yakubu, ibu kepada Dorcas Yakubu, gadis yang muncul dalam video yang dikeluarkan oleh Boko Haram, pada sidang akhbar di Abuja semalam. – AFP
Penyelaras ‘Bring Back Our Girls’, Prof. Obby Ezekwesili (kiri), menangis ketika cuba untuk memujuk Esther Yakubu, ibu kepada Dorcas Yakubu, gadis yang muncul dalam video yang dikeluarkan oleh Boko Haram, pada sidang akhbar di Abuja semalam. – AFP

“Mereka harus membebaskan saudara kami yang ditahan dengan serta merta,” kata lelaki itu, mengingatkan jika tahanan tidak dibebaskan kerajaan tidak dapat menyelamatkan pelajar perempuan berkenaan.

“Mereka harus tahu bahawa anak mereka masih di tangan kami,” katanya dalam filem yang disiarkan di YouTube yang nampaknya menunjukkan beberapa wanita cedera selepas satu serangan udara.

Sementara Presiden Muhammadu Buhari berkata kumpulan itu “telah tewas dari segi teknikal,” kerajaannya telah bergelut untuk mencari budak perempuan, satu situasi memalukan dari segi politik yang memaparkan kehadiran berterusan Boko Haram di rantau itu.

Video itu menggunakan nama asal Boko Haram, bukan Wilayah Negara Islam Afrika Barat (ISWAP) baru, mencadangkan ia dikeluarkan oleh puak Shekau, walaupun masih tidak diketahui bila atau di mana ia dirakam.

“Terdapat sejumlah budak perempuan, kira-kira 40 orang, yang telah berkahwin,” kata lelaki dalam video selama 11 minit itu. “Ada di antara mereka telah terbunuh akibat pengeboman udara.” – AFP