Bola jaring negara akur dengan Malaysia

Bola jaring negara akur dengan Malaysia

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Pasukan Bola Jaring Brunei Darussalam menamatkan kempennya dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 menentang Malaysia pagi ini.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan pasukan negara tewas 14-76 kepada Malaysia.

Malaysia sudah menerajui perlawanan dengan jaringan 19-2 pada suku masa pertama sebelum menambah 22 gol lagi pada suku masa kedua untuk semakin jauh meninggalkan Brunei Darussalam dengan jaringan 41-6 selepas Brunei Darussalam hanya berjaya menambah empat jaringan.

Pada suku masa ketiga Brunei Darussalam menambah tiga gol saja berbanding 18 jaringan oleh Malaysia untuk kedudukan berubah menjadi 59-9, dan pada suku masa keempat Brunei Darussalam mencatat jaringan tertingginya pada satu suku masa iaitu 5 gol, sementara Malaysia menambah 17 gol.

Pasukan Brunei Darussalam (kuning) ketika menentang pasukan pilihan juara, Malaysia di hari ketiga kejohanan.
Pasukan Brunei Darussalam (kuning) ketika menentang pasukan pilihan juara, Malaysia di hari ketiga kejohanan.

pg24_151126_LOGO ASG7

Pada perlawanan akhir esok yang dijadualkan bermula pukul 8:30 pagi, Malaysia akan bertemu dengan Singapura, pasukan yang mara ke final selepas menang tipis 36-33 ke atas Thailand dalam perlawanan pertama pagi ini.

Pertembungan Singapura dengan Thailand itu berlangsung sengit, diterajui 7-5 oleh Thailand pada suku masa pertama sebelum Singapura bangkit menjaringkan 15 gol pada suku masa kedua berbanding hanya 5 gol oleh Thailand untuk Singapura pula mendahului, 20-12. Suku masa ketiga menjadi milik Thailand dengan penghasilan 14 gol berbanding hanya 6 gol oleh Singapura untuk kedudukan terikat 26-26.

Suku masa keempat menjadi penentu siapa layak berada di final dan Singapura berjaya melakukannya dengan menghasilkan 10 gol berbanding 7 gol saja oleh Thailand untuk keputusan muktamad 36-33 memihak Singapura. –

ARTIKEL YANG SAMA