Bola jaring negara naib juara di Korea

Bola jaring negara naib juara di Korea

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Pasukan 21 tahun ke bawah Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam mempamerkan prestasi yang menggalakkan apabila pasukan muda itu berjaya menawan kota Jeonju, Korea dengan tiga kemenangan daripada empat perlawanan.

Pasukan negara hanya tewas di tangan pasukan terkuat dalam kumpulan iaitu Pasukan Hong Kong hari ini dengan perbezaan tujuh jaringan apabila Pasukan Hong Kong meraih mata ke-20 pada wisel penamat perlawanan penentuan.

Terdahulu pada sebelah pagi, berlangsung satu perlawanan antara Brunei Darussalam menentang pasukan Chinese Taipei yang berpihak kepada pasukan negara dengan jaringan 40-27 sementara semalam dua perlawanan menyaksikan pasukan kita menang ke atas Pasukan Jepun 57-8 dan tuan rumah 62-5.

Dengan kekalahan di tangan Hong Kong hari ini, pasukan bawah 21 tahun negara akan pulang 1 September 2016 ini nanti dengan kedudukan naib juara bagi kejohanan jemputan di Korea itu sebagai salah satu persiapan Kejohanan Bola Jaring Belia Asia ke-10 pada bulan Mei 2017 di Jeonju, Korea.

Mengulas mengenai persembahan pemain, Ketua Jurulatih skuad Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jinadasa di Korea ketika dihubungi menegaskan penyertaan dalam siri jemputan ini adalah satu penggerak motivasi para pemain yang efektif.

Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam 21 tahun ke bawah bergambar ramai. – Gambar BNA
Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam 21 tahun ke bawah bergambar ramai. – Gambar BNA

“Saya melihat bagaimana semangat dan corak permainan yang memberangsangkan ditunjukkan para pemain dan ia pasti akan memberikan satu impak positif kepada pemain belia kita berbanding penyertaan di kejohanan asia sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya pada kejohanan kali ini para pemain cukup cergas dan proaktif dalam merangka serangan mempertahankan tiang gol namun baginya sudah menjadi resam perlawanan bahawa pasti ada jurang perlu diberikan perhatian.

“Walaupun begitu kami bersyukur kerana penyertaan kita di dalam jemputan ini berbaloi apabila berjaya naik ke pentas bagi menerima hadiah tempat kedua dan jika dilihat pasukan lawan, mereka bukanlah pasukan yang baru dalam kancah bola jaring di rantau ini,” tegasnya.

Apabila ditanya mengenai barisan pemain baru, beliau berkata, kombinasi pemain baru dan senior sangat baik dan ia adalah antara faktor kejayaan dalam siri jemputan ini sehingga pasukan muda ini berjaya melangkah sehingga ke peringkat akhir.

“Saya memuji semua pemain dan impak sangat ketara kerana gandingan pemain baru yang cergas serta pemain senior yang berpengalaman memberikan sumber serangan dan pertahanan yang seimbang,” ujar Thilaka lagi.

Menurutnya, beliau suka melihat peranan pemain senior di dalam mahupun di luar gelanggang dan beliau menyatakan harapan supaya para pemain akan terus komited berlatih bagi membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi dan padanya menjadi motivasi buat diri sebagai jurulatih.

ARTIKEL YANG SAMA