Boleh dihukum penjara jika sebar maklumat palsu

Boleh dihukum penjara jika sebar maklumat palsu

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Nov – Orang ramai sekali lagi diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat / mengancam atau menggemparkan atau menimbulkan keadaan cemas kepada orang awam kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman.

Di bawah Undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148), orang yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000.

Peringatan ini dibuat berikutan mesej menular melalui aplikasi WhatsApp yang mengatakan perintah berkurung mengenai ‘pengait’ yang telah mula melaksanakan kerja mereka untuk mencari kepala bagi membuat jambatan Brunei Limbang-Temburong.

Mesej tersebut juga mengatakan bahawa dua mayat kanak-kanak berumur dalam lingkungan lima hingga 10 tahun dijumpai tanpa kepala di Daerah Belait.

Bagaimanapun, apabila diselidiki maklumat mengenai mayat-mayat tersebut, Media Permata mendapati tiada laporan telah dibuat di balai-balai polis.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak sekali-kali menyebarkan mana-mana maklumat tidak sahih atau tidak berasas bagi mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan kekacauan ketenteraman dalam masyarakat awam.

ARTIKEL YANG SAMA