Boleh tempah nombor pilihan dalam talian di Progresif

Boleh tempah nombor pilihan dalam talian di Progresif

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Progresif Sdn Bhd telah memperkenalkan kedai dalam talian di www.progresif.com, di mana para pelanggan boleh menempah mana-mana nombor Progresif yang diingini.

Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk memadankan sehingga enam digit daripada nombor telefon mereka yang sedia ada, dan menerima kad SIM baru menerusi perkhidmatan penghantaran di mana-mana sahaja di negara ini dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, dipetik sebagai berkata, perkhidmatan baru ini adalah satu lagi cara baru yang mereka perkenalkan untuk membuatkan komunikasi lebih mudah dan diakses oleh semua orang dengan membolehkan pelanggan memilih nombor mereka, memilih pelan dan menerima kad SIM menerusi perkhidmatan penghantaran ke rumah atau pejabat mereka.

Progresif dalam kenyataannya menjelaskan, kedai dalam talian ini sesuai dilayari dengan telefon pintar atau tablet, sekali gus memudahkan orang ramai membuat pembelian.

Pelanggan juga boleh memilih sama ada perkhidmatan prabayar atau pasca bayar dan masih menerima SIM dan perkhidmatan penghantaran percuma, atau mengambilnya di lokasi pilihan mereka.

Pengurus Perhubungan Korporat Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad, berkata, “Jenama kami memfokuskan kepada penambah baikkan berterusan, dan sejak pelancaran semula, kami telah membuat perkembangan besar dengan menyediakan pelan-pelan baru, pakej-pakej dan penambah baikkan perkhidmatan, semuanya direka dengan kesederhanaan dan memikirkan keperluan pelanggan.”

Faedah-faedah terbaru Progresif termasuk bayaran tahunan percuma bagi semua pengguna, panggilan dan SMS masuk percuma, serta pakej-pakej dan kadar yang dipermudahkan. Selain itu, pelanggan pasca bayar boleh memilih pelan mereka sendiri dengan jumlah data dan panggilan yang sesuai bagi keperluan mereka.

Di samping itu, dengan tiada lagi kadar yang rumit, pelanggan prabayar mendapat kadar sama rata yang ringkas, membantu mengawal perbelanjaan, dengan panggilan dalam negeri pada kadar 16 sen seminit, SMS pada kadar 5 sen setiap mesej dan penggunaan data setempat pada kadar 5 sen setiap satu MB. Kredit prabayar juga bertahan lebih lama dengan kredit bonus dan tempoh kesahan lebih lama.

Kedai dalam talian ini dilancarkan secara rasmi esok, dan akan menjadi perkhidmatan kekal sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tawaran runcit mereka.

ARTIKEL YANG SAMA