Boling Piala Presiden kembali lagi

Boling Piala Presiden kembali lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Seramai 20 orang pemain mewakili Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) Brunei Darussalam akan mengikuti perlawanan boling padang dua penjuru bagi merebut trofi Piala Presiden yang akan diadakan selama dua hari bermula 30 Disember ini di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan.

Pasukan WBC yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Haji Abdul Ghafar bin POKL DSS Haji Mohd Taha akan berdepan dengan Kelab Sukan, Kebajikan & Kebudayaan Labuan (KSKK PL) dari Malaysia.

Dalam kejohanan itu, WBC bakal menurunkan tiga generasi pemain iaitu remaja, pelapis dan senior yang akan bertanding dalam empat disiplin berasingan.

Menurut kenyataan WBC di sini, enam daripadanya adalah pemain remaja yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan prestasi yang positif di sepanjang latihan sejak November lepas.

Kejohanan Boling Padang Piala Presiden ini merupakan usaha sama dengan KSKK PL untuk dijadikan sebagai projek tahunan di samping sebagai pentas terbaik buat WBC untuk menampilkan dan mendedahkan para pemain remaja mereka untuk menimba ilmu dan pengalaman bermain dalam suasana pertandingan menentang para pemain yang jauh lebih berpengalaman.

Presiden WBC, Haji Johari Awang Achee menyerahkan Piala Presiden yang akan dipertandingkan kepada Ketua Pasukan WBC, Awang Mohd Nuh Jaafar, Haji Johari juga akan turut beraksi dalam Kategori Triples VIP.
Presiden WBC, Haji Johari Awang Achee menyerahkan Piala Presiden yang akan dipertandingkan kepada Ketua Pasukan WBC, Awang Mohd Nuh Jaafar, Haji Johari juga akan turut beraksi dalam Kategori Triples VIP.

Dalam kesempatan itu juga WBC akan memanfaatkan ruang yang ada dengan mendedahkan para pemain remaja dengan perlawanan persahabatan menentang pemain remaja Labuan untuk menambah pengalaman dan ilmu dalam sukan boling padang.