Bollywood Unplugged meriahkan ulang tahun ke-25 ASEAN-India

Oleh Izah Azahari

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Acara ‘Bollywood Unplugged by Sugar and Spice, Mumbai’ bagi meraikan ulang tahun ke-25 tahun Perkongsian Dialog ASEAN-India telah diadakan di Pusat Kesenian Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), di sini, hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Berangkat dan hadir sama ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Biravij Suwanpradhes.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pesuruhjaya India ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick yang menjelaskan bahawa pertunjukan berkenaan diadakan bagi meraikan ulang tahun perkongsian dialog berkenaan yang mana Brunei merupakan negara penyelaras bagi India di ASEAN dari 2012 hingga 2015.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berkenan bergambar ramai bersama sekumpulan penghibur daripada Sugar & Spice. Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan PYT Nagma M.Malick.
Antara tarian yang dipersembahkan semasa acara tersebut.

Puan Yang Terutama juga menekankan mengenai penyertaan aktif Brunei dalam acara-acara ASEAN di India dalam beberapa bulan kebelakangan seperti Sidang Kemuncak Belia pada Ogos manakala pada Januari ini, Program Pertukaran Pelajar ASEAN-India ke lima buah bandar India.

Dalam pada itu, kumpulan kebudayaan seramai 12 orang dari Brunei pula akan membuat persembahan kebudayaan pada Festival Tarian Ramayana dan Tradisi yang bakal diadakan pada 20 hingga 24 Januari depan di New Delhi dan dua buah bandar lain; Pertemuan dan Ekspo Perniagaan dan Pelaburan ASEAN-India yang akan diadakan pada 20 dan 23 Januari di New Delhi serta Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India pada 25 Januari. Pada majlis itu, sekumpulan 14 orang penghibur, Sugar & Spice, telah memukau para pengunjung dengan persembahan mereka yang bertenaga dan mempesonakan.

Di samping penari-penari, persembahan turut mengetengahkan nyanyian secara langsung oleh penyanyi-penyanyi rakaman profesional dari filem-filem India.