Bolt lancar kempen 2016 pada 14 Mei

Bolt lancar kempen 2016 pada 14 Mei

KINGSTON, Jamaica, 6 April – Raja pecut Jamaica Usain Bolt akan menyertai acara 100m pertamanya musim 2016 pada Kejohanan Jemputan Cayman bulan depan, demikian diumumkan hari ini.

Atlet berusia 29 tahun itu yang juga pemenang enam kali emas Olimpik, dan sedang bersiap sedia untuk mempertahankan gelarannya di Rio de Janeiro Ogos depan, akan berentap di Kompleks Sukan Truman Bodden di Grand Cayman 14 Mei nanti.

“Saya gembira mengumumkan bahawa saya akan bertanding dalam acara 100 meter di Cayman 14 Mei ini,” kata Bolt dalam satu kenyataan.

Pemegang rekod dunia acara 100m dan 200m itu tidak berlumba sejak Kejohanan Dunia di Beijing, di mana beliau menang acara 100m, 200m dan lari berganti-ganti 4x100m Ogos lepas.

Bolt akan menyertai acara 100m pada Kejohanan Jemputan Cayman bulan depan. - Reuters
Bolt akan menyertai acara 100m pada Kejohanan Jemputan Cayman bulan depan. – Reuters

“Cayman akan menjadi pertandingan antarabangsa pertama saya tahun ini dan kali kedua saya bersaing di sana,” kata Bolt. “Saya sentiasa menikmati persaingan di Caribbean dan berharap untuk bertemu peminat saya di Cayman.”

Persaingan itu nanti akan menampilkan juara 400m dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 200m Allyson Felix dan juara dunia 100m 2011, Carmelita Jeter.

Felix masih belum membuat keputusan tentang acara yang akan disertainya nanti kerana sibuk membuat persediaan Sukan Olimpik dan mungkin akan menumpukan pada acara 200m dan 400m.

Felix telah memenangi 21 pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa pada persaingan peringkat antarabangsa untuk Amerika Syarikat. Perlumbaan akan menjadi acara terbesar pertama tahun ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA