Bolt mahu kembali menggegar

Bolt mahu kembali menggegar

KINGSTON, 24 Jun (AFP) – Penyandang juara dunia dan Olimpik, Usain Bolt kembali beraksi dalam acara kegemarannya, 100 meter pecut di Kejuaraan Olahraga Jamaica, hari ini selepas wujud kebimbangan terhadap prestasinya.

Dia pada awalnya tidak merancang untuk beraksi dalam kejohanan pemilihan skuad kebangsaan Jamaica ke Kejuaraan Dunia tahun ini di Beijing, China itu kerana sudah pun layak.

Begitupun, kegagalan Bolt untuk berlari di bawah 10 saat dan 20 saat dalam acara kegemarannya 100 serta 200 meter musim ini membayangi prestasi bintang olahraga dunia itu.

Ia pantas mencetus bimbang jurulatihnya, Glen Mills yang menukar perancangan dan menyenaraikannya beraksi dalam pemilihan skuad Jamaica untuk Kejuaraan Dunia selain ke Sukan Pan America di Toronto, Kanada, bulan depan.

Bolt mendapat bye dalam acara 100 dan 200 meter di Kejuaraan Dunia selepas memenangi kedua-dua acara di kejohanan sama, dua tahun lalu di Moscow, Russia.

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Bolt menjuarai kedua-dua acara kegemarannya itu dan mengulanginya pada temasya sama di London 2012.