Bolt mantap menjelang Olimpik Rio

Bolt mantap menjelang Olimpik Rio

KINGSTON, Jamaica, 12 Jun (AFP) – Atlet lari pecut Jamaica, Usain Bolt memenangi acara 100 meter pada Grand Prix Racers di sini, hari ini dengan catatan 9.88 saat, catatan kedua terpantas dunia untuk tahun ini menjelang Olimpik Rio pada Ogos.

Raja pecut dunia itu mengetuai tiga lagi pelari yang mencatat masa di bawah 10 saat dalam perlumbaan itu.

Nickel Ashmeade dan Yohan Blake kedua-duanya mencatat masa 9.94s dengan Asafa Powell menamatkan saingan dengan catatan 9.98s.

Juara enam kali Olimpik, Bolt bermula agak perlahan tetapi menamatkan perlumbaan dengan mantap bagi membuktikan prestasi sebenar untuk musim Olimpik.

Usain Bolt memenangi perlumbaan itu sekali gus mencatat masa kedua terpantas tahun ini. – AP
Usain Bolt memenangi perlumbaan itu sekali gus mencatat masa kedua terpantas tahun ini. – AP

Bolt yang membuat penampilan ketiga untuk tahun ini memperbaharui catatan 9.98s yang dilakukannya ketika di Ostrava pada 20 Mei lalu.

Dengan Olimpik akan bermula kurang dari dua bulan lagi, Bolt mengatasi Justin Gatlin dalam senarai dunia 2016 dengan pelari Amerika Syarikat itu menjadi atlet keempat terpantas tahun ini dengan catatan 9.93 saat.

Atlet Perancis, Jimmy Vicaut masih kekal terpantas tahun ini dengan catatan 9.86s yang dilakukannya ketika di Montreuil, 7 Jun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA