Bolt masih nombor 1

Bolt masih nombor 1

LONDON, 26 Julai (AFP) – Usain Bolt menegaskan dia masih raja pecut sebaik kembali daripada kecederaan dengan catatan 9.87saat berturut-turut dalam acara 100 meter pada kejohanan Liga Berlian London, awal pagi semalam.

Ditanya sama ada aksi cemerlangnya ketika saringan dan final di trek Stadium Olimpik yang basah akibat hujan membuktikan dia masih pelari nombor satu dunia, pelari berusia 28 tahun dari Jamaica itu berkata dengan yakin: “Saya tidak pernah menduduki tangga kedua.”

Berdasarkan catatan 100m yang dilakukannya pada 2015, Bolt kini berada di kedudukan keenam. Justin Gatlin, pelari Amerika Syarikat yang menjalani penggantungan dua kali akibat dadah, mendahului senarai dengan 9.74saat dan juga mencatat 9.75saat dua kali serta 9.78saat.

Bolt bagaimanapun masih mempunyai ruang untuk diperbaiki sebelum mempertahankan gelaran 100m dan 200m pada Kejohanan Dunia di Beijing bermula 22 Ogos ini, di litar Sarang Burung yang menyaksikan dia memenangi tiga pingat emas pertama Olimpik (100m, 200m and 4x100m) pada 2008.

Pelari Jamaica itu memenangi setiap acara 100m dan 200m yang disertai sepanjang tujuh tahun lalu, kecuali 100m pada Kejohanan Dunia 2011 di Korea Selatan apabila lariannya dibatalkan.

Usain Bolt memberikan pose istimewanya yang tersendiri selepas mencatat 9.87saat dalam acara 100 meter di London, semalam. – Reuters
Usain Bolt memberikan pose istimewanya yang tersendiri selepas mencatat 9.87saat dalam acara 100 meter di London, semalam. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA