Bolt menang acara 200m

Bolt menang acara 200m

OSTRAVA, Republik Czech, 27 Mei (AFP) – Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt mengatasi keadaan cuaca sejuk dan hujan untuk mencatatkan kemenangan musim baru dalam acara 200 meter pada persaingan Golden Spike semalam.

Di timur bandar Ostrava, Czech, pelari dunia berusia 28 tahun itu dan juara Olimpik – yang juga memegang rekod dunia 100m dan 200m, mencatatkan masa 20.13 saat, hampir satu saat di belakang rekod dunianya 19.19 saat yang dicatatkan pada 2009. Dalam kemunculan sebelumnya untuk acara 200m musim ini, Bolt mencatatkan masa 20.20 saat di tempat sendiri di Kingston, Jamaica April yang lalu.

Bolt, yang memenangi enam pingat emas Olimpik, lapan gelaran dunia dan memecahkan rekod dunia beberapa kali, berazam untuk meningkatkan rentaknya untuk mempertahankan tiga pingat emas pada kejuaraan dunia di Beijing Ogos depan dan akan meneruskan bersaing di Dimaond League New York dan Paris.

Jamaica terus bergembira dalam acara 100m dengan bekas pemegang rekod dunia Asafa Powell menang dengan masa catatan masa 10.04 saat dalam satu pencapain menarik selain rekod Bolt dengan 9.58 saat.

Usain Bolt (tengah), Carvin Nkanata dan Isiah Young bersaing dalam acara 200m di Golden Spike, Ostrava semalam. - AFP
Usain Bolt (tengah), Carvin Nkanata dan Isiah Young bersaing dalam acara 200m di Golden Spike, Ostrava semalam. – AFP

Bagaimanapun, ada juga drama bagi juara Olimpik 800m dan pemegang rekod dunia David Rudisha pada dua pusingan perlumbaan. Pelari dari Kenya itu mengalami kecederaan pada pertengahan perlumbaan pada kedudukan 600m dengan memegang paha kanannya.

Dejen Gebremeskel dari Habsyah, tempat kedua Olimpik London 2012, memenangi acara 5,000 meter dengan masa catatan 13minit 23.72 saat.

Juara dunia Bogdan Bondarenko dari Ukraine memenangi lompat tinggi dengan lompatan terbaik setinggi 2.24 meter dan juara Olimpik Christian Taylor dari AS mendominasi persaingan lompat kijang dengan catatan lompatan sejauh 17.52 meter.

Thiago Braz mendapat penghormatan lompat bergalah dengan 5.75 meter sementara Asmir Kolasinac dari Serbia memenangi lontar peluru dengan 20.51 meter.