Bolt raja pecut dunia

Bolt raja pecut dunia

BEIJING, 27 Ogos (AFP/Reuters) – Pelari Jamaica Usain Bolt mengatasi pesaing dari Amerika, Justin Gatlin untuk memenangi gelaran acara 200 meter dunia buat kali keempat berturut-turut sebentar tadi untuk menambah koleksi pingat emas selepas memenangi acara 100 meter hujung minggu lalu.

Bolt mencatatkan masa 19.55 saat untuk melanjutkan penguasaan beliau sebagai raja pecut global sejak menguasai Sukan Olimpik Beijing 2008 di Stadium Sarang Burung yang sama.

Gatlin, yang telah menjalani dua pengharaman dadah, mencatatkan masa 19.74 saat, dengan pelari Afrika Selatan, Anaso Jobodwana meraih pingat gangsa dengan rekod kebangsaan 19.87 saat.

Dengan kemenangan itu bermakna Bolt kini memenangi 11 daripada 12 gelaran Olimpik dan acara pecut dunia individu sejak menjadi terkenal semasa Sukan Beijing, dengan hanya kepincangan selepas permulaan salah dalam acara 100 meter pada kejohanan dunia di Daegu pada 2011.

Ahad lalu, Bolt memenangi acara pecut 100 meter dengan mengatasi Gatlin selepas mencatatkan masa 9.79 saat untuk catatan terpantasnya sepanjang tahun ini dengan Gatlin menamatkan perlumbaan dengan catatan 9.80 saat.

Usain Bolt merentasi garisan penamat di depan Gatlin dalam acara final 200 meter lelaki di Stadium Sarang Burung Beijing sebentar tadi. – Reuters
Usain Bolt merentasi garisan penamat di depan Gatlin dalam acara final 200 meter lelaki di Stadium Sarang Burung Beijing sebentar tadi. – Reuters

Gangsa pula dimenangi pelari Kanada, Andre de Grasse dan seorang lagi pelari AS, Trayvon Bromell selepas kedua-duanya mencatatkan masa 9.92 saat. Kedua-duanya dianugerahkan pingat gangsa kerana catatan yang hanya dibezakan dengan perpuluhan 1000 saat.

Pemegang rekod dunia dan juara Olimpik, Bolt kini belum pernah tewas dalam acara 100 meter atau 200 meter dalam kesemua enam kejuaraan major sejak 2007. Gatlin, 33, adalah pemenang pingat emas Olimpik dan Kejuaraan Dunia sebelum kebangkitan Bolt dan penggantungan akibat bahan terlarang selama empat tahun.

Kemenangan Bolt Ahad lalu juga disifatkan mencetus kelegaan kepada olahraga yang ketika ini berdepan skandal dakwaan doping di kalangan atletnya.