Bolt tewas jua

Bolt tewas jua

BEIJING, 28 Ogos – Bintang pecut dunia, Usain Bolt mengalami detik menakutkan semalam, apabila dilanggar dari belakang secara tidak sengaja oleh kenderaan dua roda Segway sebaik selesai menyertai acara 200 meter di Stadium Sarang Burung, di sini, semalam.

Detik kemalangan membabitkan seorang jurukamera televisyen itu sempat dirakamkan dan kini menjadi viral di seluruh dunia.

Ketika kejadian, Bolt sedang berjalan tanpa memakai kasut mengelilingi stadium untuk meraikan kejayaannya memenangi acara itu bersama ribuan penonton yang memenuhi gelanggang Kejohanan Olahraga Dunia itu.

“Saya tidak mempunyai insuran untuk kaki saya, tapi mungkin saya perlu memikirkannya selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas meraikan kejayaannya merangkul emas acara 200 meter itu.

“Dia mengaku akan kesalahannya (jurukamera televisyen) itu dan kemudian saya memeriksanya, dia OK. Dia memohon maaf banyak kali. Dia mungkin cedera di kepala. Ada beberapa luka tapi saya OK.”

Bolt dilanggar dari belakang secara tidak sengaja oleh kenderaan dua roda Segway sebaik selesai menyertai acara 200 meter semalam. – Reuters
Bolt dilanggar dari belakang secara tidak sengaja oleh kenderaan dua roda Segway sebaik selesai menyertai acara 200 meter semalam. – Reuters

Terdahulu, selepas beberapa minit memenangi acara 200 meter itu, seorang penonton dilihat melompat dari kawasan pagar penonton untuk bergambar dengan Bolt.

Dia kemudian sempat ditahan pegawai keselamatan sebelum dibawa keluar dari situ. Bolt juga kehilangan kasut spike yang digunakannya ketika perlumbaan. Dia membuka kasutnya itu sejurus perlumbaan berakhir.

“Saya memberikan kasut itu pada seseorang yang mengikuti saya ketika hendak memulakan sesi temubual. Bila saya selesai, dia sudah tiada dan saya mula berteriak mencarinya tapi dia sudah lesap,” kata Bolt.

Selain 200 meter, Bolt juga memenangi acara 100 meter pada Ahad lalu sekali gus memenangi emas berganda pada kejohanan dunia itu. – Agensi