Bom kereta IS ragut tujuh jiwa di Baghdad

Bom kereta IS ragut tujuh jiwa di Baghdad

BAGHDAD, 6 Sept – Satu serangan bom kereta yang didakwa oleh kumpulan berani mati Negara Islam (IS) telah membunuh tujuh orang berhampiran hospital di tengah Iraq kelmarin, kata polis.

Kejadian juga berhampiran lokasi pengeboman Julai lalu yang mengorbankan lebih 300 orang, dalam serangan bom tunggal terburuk yang pernah melanda Baghdad.

Van dipenuhi bahan letupan meletup di kawasan kejiranan Karrada sejurus sebelum tengah malam (2100 GMT), menyebabkan beberapa kedai berhampiran terbakar, menurut polis.

Warga Iraq membawa jenazah yang terkorban akibat letupan bom kereta di daerah Karrada, bandar Baghdad yang membunuh tujuh jiwa kelmarin. – AFP
Warga Iraq membawa jenazah yang terkorban akibat letupan bom kereta di daerah Karrada, bandar Baghdad yang membunuh tujuh jiwa kelmarin. – AFP

Seorang pegawai polis berpangkat kolonel melaporkan pada awalnya tujuh terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 cedera dalam kejadian berhampiran hospital Abdel Majid itu.

Angka itu kemudian disahkan sumber Kementerian Dalam Negeri. IS, sebuah pertubuhan pelampau Sunni mendakwa pengeboman itu dalam satu kenyataan dan berkata ia telah menyasarkan Syiah dan memberi amaran akan serangan lanjut, menurut pusat pemantauan AS, SITE Intelligence Group. – AFP