Bom meletup di belakang balai polis Narathiwat

Bom meletup di belakang balai polis Narathiwat

NARATHIWAT, 2 Sept – Sebutir bom seberat lima kilogram meletup di belakang sebuah balai polis di daerah Waeng, wilayah Narathiwat, hari ini.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej. Jen Pol. Pattanawut Angkanawin bagaimanapun berkata kejadian pukul 9 pagi itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kematian.

Dalam insiden kedua, katanya, Unit Pemusnah Bom berjaya mematikan bom buatan sendiri seberat 50kg yang dipasang dalam sebuah kereta yang dicuri di daerah itu.

Menurutnya, kereta terbabit dilaporkan dicuri tiga hari lepas sebelum dilengkapi dengan bahan letupan dalam tong gas serta beberapa botol berisi petrol.

“Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukkan kereta itu dipandu oleh seorang lelaki yang meletakkannya di lokasi itu, sebelum sebuah motosikal mengambil pemandunya,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Polis menutup beberapa jalan berhampiran sebelum bertindak memusnah bom kereta itu, katanya.

Kedua-dua insiden keganasan itu berlaku pada hari yang sama perunding daripada kerajaan Thailand dan MARA Patani mengadakan rundingan damai di Kuala Lumpur. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA