Bom palsu ditemui di lapangan terbang Perancis

Bom palsu ditemui di lapangan terbang Perancis

BOBIGNY, 28 Jan – Latihan keselamatan yang tidak menjadi di lapangan terbang Perancis mencetus kemarahan selepas bahan letupan palsu ditemui pekerja FedEx, kata sumber hari ini.

Pekerja perkhidmatan kurier Amerika di Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CGT) itu terkejut sebaik menemui periuk tekanan yang penuh dengan skru dan selak di dalam bungkusan yang dalam perjalanan dari Amerika Syarikat ke Tunisia.

Dalam pemeriksaan lanjut mereka menemui satu lagi bekas serupa, bersama objek yang kelihatan seperti peledak, kata wakil kesatuan pekerja CGT, Frederic Petit.

Kakitangan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai ancaman bahaya, dan mereka tiba bersama anjing pengesan untuk menguji peranti berkenaan dan menggunakan mesin pengimbas X-ray.

Sumber keselamatan di lapangan terbang berkata, peranti itu sebenarnya adalah ‘umpan’ yang sepatutnya dihantar ke kedutaan Amerika Syarikat di Tunisia digunakan untuk tujuan latihan.

Pemandangan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Terminal 2G di Roissy, Perancis. – Reuters
Pemandangan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Terminal 2G di Roissy, Perancis. – Reuters

“Ini jenis penghantaran yang luar biasa, ia jarang berlaku. Ini kali pertama pakej begini dibuka,” kata sumber kepada AFP. Tetapi Petit menyelar latihan itu sebagai tidak bertanggungjawab, memandangkan kebimbangan keselamatan memuncak sejak serangan Paris November lalu yang membunuh 130 orang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA