Bom palsu, pesara polis ditahan

Bom palsu, pesara polis ditahan

PARIS, 21 Dis (AFP) – Polis Perancis hari ini telah menahan seorang anggota polis bersara berhubung penemuan bom palsu dalam pesawat Air France yang telah membuat pendaratan cemas di Kenya, menurut sumber perundangan.

Lelaki berusia 58 tahun itu ditahan oleh polis sempadan sejurus kepulangannya ke Perancis sementara isterinya juga telah disoal siasat sebagai saksi, sehari selepas penerbangan mereka dari Mauritius menuju ke Paris dialihkan ke Kenya.

Sumber itu tidak memberi butiran lanjut mengenai pasangan itu, termasuk kerakyatan mereka.

Seorang penumpang memberitahu anggota kru mengenai barangan yang ditemui di dalam sebuah kubikel bilik air, kelmarin, di dalam sebuah Boeing 777, yang membawa 459 penumpang dan 14 anggota kru dari Mauritius ke Paris.

Pesawat itu mendarat di Mombasa di mana para penumpang telah dipindahkan menggunakan gelongsor kecemasan sebelum pasukan tentera laut dan anggota polis pakar bom dipanggil untuk memeriksa item mencurigakan itu.

Objek itu, terdiri daripada kadbod, kertas dan penentu masa dapur, ditemui tidak mendatangkan bahaya kepada pesawat udara itu mahupun penumpangnya, kata ketua eksekutif Air France, Frederic Gagey kelmarin.

Menurutnya ‘penyimpulan’ itu adalah item yang ditempatkan dalam almari bilik air oleh salah seorang daripada penumpang dan mengatakan ancaman bom itu tampaknya hasil daripada ‘gurauan teruk’.

Beberapa penumpang telah disoal siasat di Mombasa sebelum pesawat dihantar untuk membawa semua penumpang balik ke Perancis. Seorang jurucakap Air France memberitahu AFP hari ini, penerbangan itu telah mengambil tindakan undang-undang selepas penemuan objek yang mencurigai itu.

Penerbangan itu ‘memfailkan aduan perundangan ke atas seseorang kerana mengancam nyawa orang lain,” menurut jurucakap syarikat itu.

Perancis dalam keadaan berjaga-jaga selepas serangan kumpulan jihad di Paris pada November mengakibatkan 130 orang terkorban, dan menjadi salah sebuah daripada negara-negara lain yang mengambil langkah keselamatan tambahan.

Ketua eksekutif Air France, Gagey mengatakan sejak 15 hari yang lalu, sudah ada tiga ancaman bom ke atas pesawat Air France di Amerika Syarikat. Gagey menambah objek berkenaan yang biasanya jarang ada dalam kapal terbang itu ditemui ‘dalam almari kecil di sebalik cermin’ dalam bilik air.

Dia juga menambah, anggota kru juga mengatakan bahawa dalam pemeriksaan rutin mereka ke atas pesawat itu sebelum berlepas, almari kecil itu kosong.

Perdana Menteri Mauritius, Xavier Luc Duval memberitahu AFP yang sekuriti lapangan terbang di negara itu telah dipertingkatkan sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.