Bom tepi jalan bunuh 16 tentera

Bom tepi jalan bunuh 16 tentera

KAHERAH, 9 Nov (Reuters) – Sekurang-kurangnya 16 tentera kerajaan Yaman telah terkorban akibat sebutir bom tepi jalan di wilayah Marib timur Sanaa ibu negara, sumber tentera memberitahu Reuters lewat semalam.

Menurut sumber itu, bom, yang turut mencederakan 6 anggota tentera, meletup semasa rondaan oleh beberapa tentera berhampiran sebuah kem tentera di Marib. Mereka berkata ia tidak jelas siapa yang berada di balik serangan itu.

Di Taiz, sumber perubatan berkata, 29 orang mati, termasuk lapan orang awam dalam pertempuran untuk menguasai bandar raya ketiga terbesar negara itu.

Petugas bantuan berkata, pertempuran yang berlaku sejak beberapa hari lalu menyebabkan bekalan makanan tidak dapat disalurkan kepada penduduk, memaksa ribuan orang kelaparan.

Pertempuran di Damt, daerah di wilayah Dhalea di selatan negara itu pula mengorbankan 30 orang. Sekurang-kurangnya 5,600 orang terbunuh dalam tujuh bulan perang di Yaman, negara yang paling miskin di Semenanjung Arab.

Konflik itu membabitkan pemberontak Houthi dan unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dengan kumpulan bersenjata yang menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang mendapat bantuan pakatan Arab.

Dalam pada itu, beberapa penduduk berkata, Houthi dan sekutunya menguasai daerah Damt dan sebahagian daerah Qabbayta selepas pejuang anti-Houthi berundur dari kedudukan mereka. Segala usaha untuk mengakhiri sengketa bersenjata di Yaman gagal sebelum ia dapat dilaksanakan.