Bomba anggota ASEAN tubuh majlis selaras kerjasama

Bomba anggota ASEAN tubuh majlis selaras kerjasama

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat negara-negara ASEAN bersetuju menubuhkan Majlis Ketua-Ketua Bomba ASEAN (AFCC) untuk menyelaraskan kerjasama berkaitan aktiviti kebombaan dan menyelamat.

Persetujuan itu dicapai semasa Forum Ketua-ketua Bomba ASEAN yang julung kali diadakan dan dihadiri oleh wakil jabatan bomba dan penyelamat dari negara anggota ASEAN, di sini, Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata hasil perbincangan dalam forum itu, kesemua wakil jabatan bomba dan penyelamat menyokong idea berkenaan yang dilihat mampu memantapkan peranan jabatan itu di rantau ini.

“Majlis itu bertujuan membentuk pakatan bersama dan menyatukan perkhidmatan bomba dan penyelamat rantau ini di bawah satu organisasi yang formal. “Dengan adanya AFCC ini, ia akan memudahkan pertukaran maklumat, pengetahuan dan kemahiran antara jabatan bomba di kalangan negara anggota seterusnya mengangkat standard jabatan bomba di rantau ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan forum itu.

Wan Mohd Nor berkata, buat permulaan JBPM akan menjadi sekretariat interim untuk majlis itu dan akan mengemukakan cadangan majlis itu kepada Sekretariat ASEAN di Jakarta dan Kementerian Luar untuk tindakan lanjut.

“Kita akan buat draf piagam berkaitan penubuhannya dan mengedarkan kepada semua jabatan bomba dan penyelamat ASEAN nanti sebelum kita memutuskan bagaimana AFCC dapat berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Brunei Awang Yahya Abdul Rahman berkata penubuhan AFCC itu sangat bertepatan dengan keperluan rantau ASEAN bagi menghadapi krisis bencana alam.

Selain itu, katanya, majlis itu sangat diperlukan bagi menyokong kepesatan pembangunan ekonomi negara-negara ASEAN terutama dalam soal keselamatan masyarakat umum.

Pengarah Jabatan Keselamatan Kebakaran dan Perlindungan, Pertahanan Awam Singapura Christopher Tan Eng Kiong berkata pembentukan AFCC akan meningkatkan hubungan dua hala antara negara-negara anggota ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA