Bomba bantu mangsa terjejas banjir

Bomba bantu mangsa terjejas banjir

KUCHING, 24 Feb (Bernama) – Setelah berhempas pulas menyelamat dan memindah mangsa-mangsa banjir pada Sabtu dan Ahad lepas, kini anggota bomba dan penyelamat bertugas membantu membersih rumah dan sekolah yang terjejas banjir.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad hari ini sebanyak 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang berganding bahu dengan penduduk Kampung Batu Kitang Lama dekat sini membersihkan surau, jalan berlumpur, parit tersumbat dan rumah-rumah terjejas banjir di kampung berkenaan.Katanya, semalam 11 angggota bersama guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Jalan Batu Kawa di sini membersihkan sekolah berkenaan yang turut terjejas banjir.

Di daerah Bau, katanya lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau bersama-sama dengan guru dan kakitangan SK Buso, Bau bergotong-royong membersihkan bilik darjah, parit dan jalan berlumpur di sekolah berkenaan.