Bomba bantu murid terperangkap dalam banjir 

KUCHING, 11 Sept – Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Betong membantu mengeluarkan dua orang murid daripada kebun keluarga mereka di Nanga Sekulam yang dinaiki air pagi tadi.

Kedua-dua murid perempuan itu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entaban dipercayai bermalam di kebun tersebut sejak semalam.

“Pihak sekolah memang tahu kadang kala mereka berdua bersama ahli keluarga mereka akan bermalam di pondok di kebun itu (jika tidak pulang ke rumah di Kampung Mujan).

“Pagi tadi hujan agak lebat, saya kemudian menghubungi ibu kanak-kanak tersebut sebelum dimaklumkan anak-anaknya tidak dapat ke asrama kerana jalan di kebun mereka dinaiki air akibat hujan lebat,” kata Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Nanga Entaban, Florida Lingoh ketika dihubungi.

Beliau berkata beliau kemudian menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi membawa semula dua adik-beradik itu ke asrama mereka. – Bernama