Bomba bantu turun pesakit seberat 180 kg

Bomba bantu turun pesakit seberat 180 kg

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini membantu menurunkan seorang pesakit lelaki yang mempunyai berat badan 180 kilogram dari rumahnya di tingkat tiga sebuah apartment di Serendah, dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata Muhd Khairul Hidayat Taslim, 26, yang menghidapi masalah di bahagian pinggang dibawa turun menggunakan pengusung dan beberapa peralatan menyelamat lain kira-kira 4.30 petang.

“Pesakit tidak mampu berdiri kerana penyakit yang dihidapinya dan laluan yang sempit menyebabkan anggota terlibat mengambil inisiatif mengangkatnya ke bawah untuk dibawa ke dalam ambulans,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamil berkata pesakit kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi rawatan lanjut.

Operasi menyelamat yang berakhir kira-kira 4.50 petang itu melibatkan enam anggota bomba dari balai bomba berkenaan.