Bomba guna tali sebarangi sungai untuk selamat mangsa tanah runtuh

Bomba guna tali sebarangi sungai untuk selamat mangsa tanah runtuh

SERIAN, 9 Feb – Anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan tali untuk menyeberangi sungai berarus deras untuk menyelamat mangsa tanah runtuh di Kampung Pelaman Nyabet dekat sini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam tadi, dua buah rumah di kampung berkenaan rosak akibat tanah runtuh.

Sejumlah 12 mangsa daripada lima keluarga terjejas berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi di Sekolah Kebangsaan (SK) St All Saint, katanya.

Bagaimanapun, menurut Farhan tiada mangsa yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata kini sejumlah 21 pusat pemindahan banjir dibuka di negeri ini dan bantuan sudahpun dihantar ke semua pusat berkenaan. – Bernama