Bomba, JPAM bantu bawa pesakit obesiti ke hospital

Bomba, JPAM bantu bawa pesakit obesiti ke hospital

SIBU, Sarawak, 21 Sept – Empat anggota paramedik yang tiba dengan ambulans terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa seorang lelaki obesiti ke hospital, hari ini.

Sia Chi Herng, 33, yang mempunyai berat badan 250 kilogram terlalu lemah dan bengkak kakinya, sehingga tidak mampu berdiri, sekali gus memaksa anggota paramedik mendapatkan bantuan tambahan untuk mengangkat lelaki itu di rumahnya di Ulu Sungai Merah, di sini.

Menurut Penolong Penguasa Kanan Bomba Terry Robson, empat anggota bomba tiba dengan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Jentera Penyelamat Rapid (RRV) ke rumah lelaki itu kira-kira pukul 11:35 pagi.

Anggota bomba dan penyelamat serta anggota JPAM terpaksa menggunakan kain bagi mengangkat dan memindahkan Sia Chie Herng yang mempunyai masalah obesiti dengan berat badan seberat 250kg dari rumah ke Hospital Sibu menggunakan sebuah lori. – Bernama

Namun, mereka terpaksa meminta bantuan daripada rakan untuk membawa lori berikutan tubuh lelaki itu terlalu besar bagi dimasukkan ke dalam ambulans.

Dibantu tiga anggota JPAM, mereka mengambil masa setengah jam untuk menaikkan Sia ke atas lori dan membawanya ke hospital bagi menjalani rawatan. – Bernama