Bomba Labuan bantu kawal kebakaran tanah gambut di Sabah

Bomba Labuan bantu kawal kebakaran tanah gambut di Sabah

LABUAN, 8 April (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan mengerahkan anggota dan sokongan logistiknya untuk membantu memadam kebakaran di Pantai Barat Sabah yang menyebabkan keadaan berjerebu di beberapa kawasan di negeri ini sejak akhir bulan lepas.

Kawasan yang mengalami kebakaran teruk termasuk Hutan Simpan Binsuluk, Kg Lumat, Beaufort serta kawasan tertentu di Membakut dan Kuala Penyu, kata pengarahnya, Zainal Madasin.

Operasi dikenali sebagai ‘Ops Gambut Hutan Simpan’ itu dijalankan sejak 5 April. Zainal berkata kesemua anggota bomba terlibat terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan sesetengah mereka adalah anggota Pasukan Khas Operasi Taktikal dan (STORM), yang terlatih dalam bidang pengurusan bencana.

“Suku pertama tahun ini merupakan tempoh mencabar bagi anggota bomba, bukan sahaja di Labuan, tetapi juga di bahagian lain negara ini bagi memadam kebakaran, termasuk kebakaran hutan dan belukar,” katanya.