Bomba & Penyelamat, BLNG bersih tanah perkuburan

Bomba & Penyelamat, BLNG bersih tanah perkuburan

Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 13 Mei – Kira-kira 100 orang dalam kalangan anggota Balai Bomba Sungai Liang, Labi, serta kakitangan Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) dan penduduk Mukim Bukit Sawat bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam dan Masjid Kampung Bukit Sawat di sini, hari ini.

Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Awang Muhamad Ali yang turut menyertai kempen tersebut memberitahu, kerja amal tersebut merupakan aktiviti berkebajikan tahunan yang dikendalikan oleh Balai Bomba Sungai Liang dan Syarikat BLNG Sdn Bhd.

Kerja amal tersebut telah dibahagikan kepada membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam Bukit Sawat dan juga membersihkan Masjid Bukit Sawat di sini, yang turut diteruskan dengan Majlis Membaca Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Imam Masjid Bukit Sawat, Haji Haudin bin Hamdan.

Anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Liang dan Labi serta pegawai-pegawai Syarikat BLNG membuat kerja amal membersihkan tanah perkuburan.
Anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Liang dan Labi serta pegawai-pegawai Syarikat BLNG membuat kerja amal membersihkan tanah perkuburan.

Aktiviti tersebut diadakan antara lain bersempena Sambutan Israk dan Mikraj dan juga menjelangnya Bulan Ramadan, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka yang menyertai kerja gotong-royong tersebut.

Menyertai sama kerja amal tersebut ialah Ketua Komunikasi Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Awang Azlan bin Aziz dan pegawai lain syarikat itu serta ketua kampung.