Bomba Sabah sasar tubuh 200 pasukan bomba komuniti

Bomba Sabah sasar tubuh 200 pasukan bomba komuniti

SANDAKAN, 27 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menyasarkan untuk menubuhkan 200 Pasukan Bomba Komuniti (PBK) bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran dalam masyarakat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi berkata sehingga hari ini, terdapat sebanyak 27 PBK dengan keanggotaan seramai 300 orang sejak pasukan itu ditubuhkan tahun lepas.

Katanya bagi mencapai sasaran itu, setiap Balai Bomba dan Penyelamat di negeri ini akan menubuhkan 10 pasukan di kawasan masing-masing.

Menurutnya anggota PBK adalah terdiri daripada Anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Persatuan Penduduk, Kariah Masjid, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan keagamaan dan lain-lain badan serta persatuan.

“Mereka ini sangat berpengaruh dan peranan yang dimainkan adalah menyampaikan pengetahuan keselamatan kebakaran kepada penduduk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran peringkat negeri sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Mohd Edris melancarkan kempen itu di sini hari ini. Beliau berkata pihaknya juga turut memperluaskan penubuhan Pasukan Tindakan Kecemasan di 400 bangunan di negeri ini bagi membolehkan tindakan cepat diambil dalam menangani kebakaran bangunan.

Beliau berkata penubuhan pasukan itu telah diwajibkan dalam mendapatkan sijil perakuan bomba dan pihaknya dalam usaha memastikan mereka mematuhi undang-undang ini. – Bernama