Bomba selamatkan dua kanak-kanak terperangkap di Sungai Pampang

KENINGAU, 10 Okt – Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan yang terperangkap di tengah-tengah Sungai Pampang, dekat sini, apabila paras air sungai berkenaan meningkat secara mendadak.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, kejadian berlaku ketika kedua-kedua kanak-kanak berumur 10 tahun dan lima tahun itu cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas berada di tengah-tengah sungai itu, paras air sungai tiba-tiba naik mendadak menyebabkan mereka  terperangkap.

Katanya, pasukan bomba dan penyelamat  dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6.35 pagi sebelum menghantar pasukan 11 anggota ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat. – Bernama