Bomba Spark sekali lagi rangkul anugerah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Mei – Bomba Spark Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait sekali lagi dianugerahkan sebagai Balai Bomba Contoh bagi tahun ini setelah memperolehi tempat pertama dalam penilaian memilih balai bomba contoh cawangan-cawangan balai di seluruh negara.

Dengan kemenangan tersebut Balai Bomba Spark telah mengekalkan tempat pertamanya yang pernah dianugerahkan pada penilaian tahun 2016, manakala di tempat kedua pada tahun 2015 dan di tempat ketiga pada tahun 2014.

Seperti lazimnya setiap tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat akan membuat penilaian untuk memilih balai-balai contoh kesemua cawangan balai di seluruh negara, dan pemilihan Balai Bomba Contoh dijalankan oleh ahli jawatankuasa yang dilantik untuk menilai sebanyak empat kategori iaitu Operasi, Perancangan Latihan dan Kakitangan, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan dan serta Teknikal.

Balai Bomba Spark mula beroperasi pada 25 April 2012 dengan keramaian lapan orang anggota setiap pasukan, sehinggalah pada masa ini ia bertambah dengan keramaian 12 orang setiap pasukan dilengkapi dengan tujuh buah jentera Bomba seperti HazMat Tender (Hazardous Materials), Rescue Tender, Emergency Tender, Foam Water Tender, Multi Purpose Vehicle dan Comman Car.

Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait bergambar ramai bersama para pegawai dan anggota Balai Bomba Spark dan lainnya.
Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait bergambar ramai bersama para pegawai dan anggota Balai Bomba Spark dan lainnya.

Penolong Penguasa Mohd Rosdy bin Haji Abdul Halim selaku Stesen Komander Balai Bomba Spark berkata kejayaan yang diperolehi merupakan hasil kerjasama dan komitmen semua anggota bomba dalam melaksanakan semua tugas dan arahan dengan mengikuti rutin balai yang telah disediakan.

“Disiplin diri menjadi kunci kejayaan dan setiap yang dilakukan hendaklah dikerjakan dengan keikhlasan serta jujur tanpa mengharapkan sesuatu pulangan atau pujian, apa yang diharapkan semangat kerjasama dan kerja berkumpulan, ini akan dapat diteruskan pada bila-bila masa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran atas kemenangan Balai Bomba Spark tersebut telah diadakan hari ini yang dihadiri oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Penguasa Kanan Shahreeni bin Haji Mohd Yussof, dan dihadiri sama oleh timbalan pegawai pemerintah, stesen-stesen komander serta anggota-anggota Balai Bomba Spark.