Bomba tambah bekalan darah

Bomba tambah bekalan darah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Seramai 55 orang telah tampil mendermakan darah dalam Kempen Menderma Darah anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat sempena Hari Ulang Tahun ke-56 jabatan berkenaan di dewan serba guna jabatan berkenaan, hari ini.

Turut hadir menjayakan kempen untuk membantu menambah stok bekalan darah Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Salleh (RIPAS) ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abd Rahman, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Lim Hock Guan dan ketua pemerintah operasi.

Ketua kempen dari Pusat Pendermaan Darah RIPAS ketika ditemui memberitahu, selain para pegawai, anggota bomba dan kakitangannya, sambutan orang ramai juga sangat menggalakkan terutamanya para belia, di mana kempen ini juga diadakan di institusi-institusi pengajian tinggi atas permintaan persatuan penuntut institut berkenaan.

Selain itu, taklimat juga diadakan di sekolah-sekolah mengenai kebaikan menderma darah dan persediaan menderma darah untuk memberi keyakinan kepada pelajar.

Beliau seterusnya menjelaskan, walaupun darah diperlukan setiap hari tetapi terdapat juga masa-masa tertentu pusat ini mengalami kekurangan darah seperti pada bulan puasa dan cuti persekolahan.

Antara anggota bomba dan penyelamat membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah.
Antara anggota bomba dan penyelamat membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah.

Walaupun demikian, tahap bekalan darah di negara ini masih lagi konsisten dan bagi mengelakkan kekurangan bekalan, pusat berkenaan menyeru orang ramai supaya menjadi penderma darah yang tetap bagi mengelakkan masalah kekurangan darah berlaku.

Beliau seterusnya menjelaskan, jangka hayat bagi darah yang sering dibuat dalam kempen berkenaan boleh bertahan selama 42 hari di mana setiap individu yang ingin menderma boleh menderma setiap selepas 56 hari dan ini tertakluk kepada tahap kesihatan setelah pemeriksaan dijalankan sebelum menderma darah.

“Ini adalah untuk memastikan penderma betul-betul sihat sebelum dan selepas menderma,” tambahnya.

Beliau seterusnya menasihatkan individu untuk mengambil makanan atau minuman sebelum menderma darah untuk menjaga kesihatan diri. Dengan adanya kempen ini, ia dapat membantu tabung darah negara untuk keperluan pesakit, mangsa kemalangan dan pesakit dengan penyakit kronik yang memerlukan darah.

Kempen ini merupakan salah satu aktiviti sempena Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melibatkan warga jabatan di keempat-empat daerah.

Kempen berkenaan juga akan dilaratkan ke cawangan seluruh daerah mengikut tarikh yang ditetapkan dan selepas ini ia akan diadakan di Dewan Serbaguna Balai Bomba Bukit Beruang, Tutong pada 13 April 2016.

Manakala Daerah Temburong pula, kempen akan diadakan di Balai Bomba Bangar, Temburong pada 25 April 2016 dan akhir sekali Daerah Belait yang akan diadakan di KBSentral, Kuala Belait pada 16 Mei 2016.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyokong kempen ini bagi membantu menambah stok bekalan darah untuk Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS.

ARTIKEL YANG SAMA