Bomba uji kemahiran

Bomba uji kemahiran

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini mengadakan Pertandingan Kemahiran Bomba ke-8 bagi 2015 yang berlangsung di Padang Balapan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Pertandingan yang menjadi acara tahunan jabatan berkenaan disertai pasukan bomba dari sembilan buah cawangan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dari keempat-empat daerah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman.

Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan, para pegawai, anggota serta kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam ucapan perasmiannya, Awang Yahya menegaskan, pertandingan itu diharap dapat menjadi ukuran bagi pihak pengurusan menilai tahap keberkesanan kemahiran anggota di bawah jagaan mereka dan tahap komitmen yang mereka tunjukkan terhadap kerjaya kebombaan yang mereka ceburi.

p10-1_20151021
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian.
Peserta menghela hos air sambil berlari ke halangan seterusnya.
Peserta menghela hos air sambil berlari ke halangan seterusnya.

“Di samping itu, pertandingan ini juga memberikan gambaran jelas tahap profesionalisme anggota yang sentiasa bersedia menyahut panggilan kecemasan sambil mereka terus dididik dengan kemahiran mengikut peredaran masa,” kata beliau.

Menurutnya, pertandingan kemahiran itu diadakan setiap tahun yang menyaksikan pertarungan kemahiran dan kecekapan para anggota operasi jabatan itu menguji kecekapan secara berpasukan.

Antara elemen kebombaan yang dipertandingkan termasuk acara yang memadam kebakaran, menyelamat nyawa, budaya berpasukan, ketahanan fizikal dan ketangkasan, dan bertindak dalam masa singkat sambil merempuh pelbagai halangan, ujarnya.

Berbeza dari tahun sebelumnya yang sering menggunakan padang kawad dan menara ibu pejabat Bomba sebagai gelanggang, pertandingan kali ini diadakan di atas padang balapan sebagai gelanggang.

Katanya lagi, format pertandingan tahun ini dibahagikan kepada dua segmen dengan segmen pertama memfokuskan kepada disiplin, strategi dan kerjasama yang mana peserta perlu merempuh lima cabaran iaitu memadam, menyelamat dan Hazmat dalam satu pusingan penuh dengan tepat dan pantas.

Sementara dalam segmen kedua yang mengandungi elemen pertolongan cemas dan ikatan tali menguji ketangkasan, kecepatan dan kepakaran anggota menggunakan ikatan tali menangani mangsa yang cedera.

Muncul pasukan juara pada Pertandingan Kemahiran Bomba bagi tahun ini ialah pasukan bomba dari Cawangan Operasi F yang berjaya mengumpul 48 mata, manakala naib juara ialah Pasukan Bomba Cawangan Operasi C dengan 46 mata, dan Pasukan dari Cawangan Operasi A yang berjaya mendapatkan 43 mata menduduki tempat ketiga.

Di tempat keempat dengan 39 mata ialah Pasukan Skuad Khas, diikuti oleh Pasukan Cawangan Operasi D di tempat kelima dengan 37 mata, Pasukan Cawangan Operasi G di tempat keenam dengan 36 mata, Cawangan Operasi E di tempat ketujuh dengan 35 mata dan disusuli di tempat kelapan dengan 30 mata ialah Pasukan Cawangan Operasi B sementara Pasukan OPW di tempat terakhir dengan 28 mata.

Pasukan yang menjuarai pertandingan itu akan berpeluang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam ke Bengkel Pertukaran Penyelamat Elit serta mengambil bahagian dalam Perarakan Hari Pasukan Pertahanan Awam Singapura dan menyertai Cabaran Bomba dan Paramedik Global (SGFPC) yang akan diadakan di Singapura selama enam hari bermula 9 November 2015.

ARTIKEL YANG SAMA