Bony aset Citizens

Bony aset Citizens

SWANSEA, 19 Mei – Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini yakin Wilfried Bony akan terus melakar nama sebagai pemain bola sepak dan kelmarin, beliau melabel pemain itu sebagai antara bintang yang mereka perlukan untuk musim depan.

Pemain gantian itu mengingatkan Swansea mengenai apa yang mereka perlukan untuk bersaing di Liga Perdana apabila meledak gol sekali gus menjamin tempat City di kelompok tiga teratas dan layak automatik ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menang 4-2 di Stadium Liberty, kelmarin.

Yaya Toure dan James Milner menghasilkan gol yang membolehkan skuad kendalian Pellegrini itu menguasai perlawanan tetapi kelebihan itu pantas dipadam Gylfi Sigurdsson serta Bafetimbi Gomis.

Toure menambah gol ketiga pasukan sebelum Bony yang dibeli dari Swansea, Januari lalu, menambah gol keempat.

Penyerang Manchester City, Wilfried Bony (kanan) meraikan jaringan bersama rakannya Jesus Navas (tengah) semasa menentang Swansea City di Stadium The Liberty Stadium 17 Mei lalu. - AFP
Penyerang Manchester City, Wilfried Bony (kanan) meraikan jaringan bersama rakannya Jesus Navas (tengah) semasa menentang Swansea City di Stadium The Liberty Stadium 17 Mei lalu. – AFP

Walaupun ia hanya gol kedua peribadinya sepanjang bersama City, Pellegrini tetap yakin keupayaan penyerang itu dan percaya Bony akan cemerlang di Eastlands.

“Dia beroleh penghormatan yang berhak dimilikinya. Dia tidak begitu bernasib baik ketika kami membelinya dan persembahannya mula meningkat sejak Piala Negara Afrika,” kata Pellegrini.

“Selepas itu, dia berdepan masalah lutut serta buku lali dan kecederaan itu menghalangnya beraksi selama tiga minggu. Kemudian kami menang lima perlawanan berturut-turut dan saya tidak mahu menukar pemain. Untuk Bony, saya yakin kami membeli pemain tepat.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA