Borneo Safari bermula

Borneo Safari bermula

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 23 Okt – Seramai 45 pengembara bersama 22 kereta pacuan empat roda bertolak ke Sabah semalam untuk menyertai lebih daripada 600 peserta dari seluruh dunia dalam Cabaran Antarabangsa Borneo Safari ke-25.

Hadir di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait, hari ini untuk melepaskan mereka ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait Awang Hasmiron Haji Mohd Taib.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung Pandan C, Haji Affandy bin Awang Damit memberitahu, cabaran tersebut merupakan kesempatan untuk mempamerkan imej Negara Brunei Darussalam yang positif di samping mengeratkan lagi perhubungan silaturahim di kalangan peserta.

“Acara Borneo Safari Antarabangsa adalah perhimpunan terbesar pacuan empat roda di Sabah. Peserta akan melakukan perjalanan agak mencabar iaitu sejauh 700 hingga 1,000 kilometer melalui laluan lasak di salah satu hutan hujan tertua di dunia,” katanya.

Pemangku Pegawai Daerah Belait memulakan acara pelepasan peserta Borneo Safari Antarabangsa.
Pemangku Pegawai Daerah Belait memulakan acara pelepasan peserta Borneo Safari Antarabangsa.
Awang Hasmiron bersama Yang Berhormat Haji Mohd Yusuf dan Ketua Kampung Pandan C melihat kenderaan yang menyertai Borneo Safari Antarabangsa.
Awang Hasmiron bersama Yang Berhormat Haji Mohd Yusuf dan Ketua Kampung Pandan C melihat kenderaan yang menyertai Borneo Safari Antarabangsa.
Para peserta Brunei Darussalam yang menyahut Cabaran Antarabangsa Borneo Safari ke-25.
Para peserta Brunei Darussalam yang menyahut Cabaran Antarabangsa Borneo Safari ke-25.

Kesemua 22 kereta pacuan empat roda ini disertai oleh ahli-ahli Persatuan Pacuan Empat Roda dari seluruh daerah termasuk satu dari Sri Aman, Sarawak dan akan melihatkan perjalanan mereka dari titik pelepasan di sini sehingga sampai di Medan Ekstrem Hutan Simpan Madi, Sabah pada 1 November nanti.

Tahun ini juga menyaksikan penyertaan kira-kira 300 peserta dari luar negara iaitu Semenanjung Malaysia, Indonesia, Sarawak, Labuan, Johor, Australia, Jepun, Thailand dan Filipina.

Ketua Kumpulan TTK 4X4 Kuala Belait Awang Mohd Khalid bin Mohd Ali memberitahu Media Permata, acara kali ini amat bermakna kerana Safari Borneo merayakan jubli perak 25 tahun semenjak penubuhannya.

pg10_151024_d

Deretan kenderaan pacuan roda yang menyertai acara tersebut.
Deretan kenderaan pacuan roda yang menyertai acara tersebut.

“Terdapat dua kategori Ekspedisi Borneo Safari iaitu Kategori Ekspidisi (tag-ons) dan juga Kategori Pertandingan,” jelasnya lagi.

Awang Mohd Khalid berkata, antara laluan Borneo Safari kali ini adalah meredah bekas trek balak yang sudah lama ditinggalkan, melalui sungai yang dalam dan kanopi hutan bermula dari Kota Kinabalu, Tambunan, Keningau, Tenom, Sipitang, Beaufort dan kembali ke Kota Kinabalu lagi.

“Fokus utama tahun ini adalah cabaran memandu di kawasan tanah tinggi di Keningau dan Tenom dan antara tempat menarik yang akan kami lawati adalah melalui kawasan pedalaman Kampung Rundum yang terkenal dengan sejarah Pemberontakan Rundum iaitu konflik antara orang-orang Murut menentang Empayar British pada tahun 1915,” jelas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA