Borneo744 titik permulaan bandar keusahawanan

Borneo744 titik permulaan bandar keusahawanan

KUCHING, 3 April (Bernama) – Penubuhan Bandar Keusahawanan Lautan Biru di Borneo744, Bintawa, di sini akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak bandar keusahawanan di seluruh negara, kelak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Borneo744, bandar usahawan pertama di negara ini, akan menjadi sebuah hab kreativiti dan inovasi yang menyatukan pemain-pemain industri di bawah satu bumbung bagi membentuk jalinan kerjasama dengan lebih kreatif lagi.

“Ia bakal menjadi tempat yang sesuai untuk perangkaian, tempat untuk generasi muda memulakan perniagaan untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi.

“Saya harap saya akan dapat melihat (kewujudan tempat ini) sewaktu lawatan saya yang akan datang. Saya ingin melihatnya sendiri. Saya yakin dengan masa depan generasi usahawan muda. Kita mesti tingkatkan tenaga dan kreativiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penubuhan bandar tersebut sewaktu merasmikan Gabungan Rakan Entrepreneur, Aspirasi Terhebat (GREAT) 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.

Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Najib menarik perhatian menerusi Borneo744, penggiat dapat berkolaborasi, bereksperimen dan mengkomersialkan produk-produk mereka daripada seni dan kraf kepada fesyen dan reka bentuk.

Hab ini terletak di sebidang tanah seluas empat hektar dengan beberapa bangunan gudang terbiar sekarang ini dan apabila siap nanti, Borneo744 akan terdiri daripada sebuah perkampungan kraf, hab kolaborasi dan ruang kerja gunasama, studio-studio, teater-teater, ruang-ruang niaga makanan dan minuman, taman-taman pertanian dan ruang pameran.