BornOil sasar jadi proksi industri perlombongan emas

BornOil sasar jadi proksi industri perlombongan emas

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) – Borneo Oil Bhd (BornOil) kini dalam proses menjadikan syarikat itu sebagai proksi bagi industri perlombongan emas Malaysia berikutan perjanjian perkongsian pengeluaran (PSA) yang dimeterainya.

Setakat ini, BornOil telah menandatangani PSA eksklusif bagi melakukan kerja-kerja perlombongan di lima kawasan berkeluasan 1,500 hektar di Pahang.

Pengarah Eksekutifnya, Raymond Teo, berkata usaha itu tidak melibatkan sebarang kos berikutan kemudahan infrastruktur dan pembangunan itu yang sememangnya sudah tersedia di dua kawasan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Teo berkata, ini membolehkan BornOil menikmati penjimatan besar dari segi perbelanjaan modal untuk infrastruktur dan persiapan praperlombongan.

Menurutnya, dari perspektif operasi, kehadiran dan penyertaan syarikat berkenaan dalam bidang perlombongan emas juga disifatkan sebagai amat ideal.

“Perkembangan seperti penyusutan ringgit, tukaran asing ternyata menyebelahi kami kerana kos langsung pengeluaran kini berkurangan kerana ia melibatkan ringgit,” katanya.

Harga emas pula baru-baru ini mencecah paras tertingginya dalam tempoh enam minggu apabila ia menjadi pilihan para pelabur yang menjadikan logam berharga itu sebagai jaminan selamat berikutan ketidaktentuan mata wang dan penurunan pasaran saham.

Teo turut mengunjurkan ‘habuan’ yang sedia ada iaitu kewujudan bijih aluvium sebanyak 300,000 tan di Merapoh dan 500,000 tan di Bukit Ibam dengan kombinasi inventori amang sebanyak 1.7 juta tan di Merapoh dan 1.6 juta tan di Bukit Ibam.

“Bijih/amang yang sedia ada ini akan menjadikan BornOil sibuk bagi tempoh tiga tahun akan datang manakala usaha mendapatkan emas padu pula akan diteruskan menerusi proses eksplorasi di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Penilaian awal bagi menentukan jumlah serta gred emas dalam aluvium dan amang sudah dimulakan. Syarikat akan membuat pengumuman sebaik mendapat pengesahan rasmi oleh ahli geologi pihak ketiga,” katanya.