Bos baru Esscom komited banteras jenayah rentas sempadan

Bos baru Esscom komited banteras jenayah rentas sempadan

KOTA KINABALU, 23 Dis (Bernama) – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang baru, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, komited untuk meneruskan segala usaha membanteras jenayah rentas sempadan di Sabah.

Wan Abdul Bari berkata ia bagi memastikan keselamatan masyarakat di negeri ini khasnya di Kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) sentiasa terjamin sekali gus memastikan keamanan dan kedaulatan negeri terus dipelihara.

Bekas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Negeri Kuala Lumpur itu berkata segala usaha dilakukan Komander Esscom sebelum ini iaitu Datuk Abdul Rashid Harun juga akan diteruskan selain melakukan beberapa penambahbaikan.

“Ini adalah perkara biasa. Sebagai komander, walaupun misi sama iaitu untuk menentukan keselamatan dan sebagainya tetapi pendekatan (berbeza), masing-masing ada cara sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas komander di sini, hari ini.

Wan Abdul Bari, 58, berkata beliau pernah bertugas di Lahad Datu pada 1980 selain pernah berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (sekarang dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am) pada 1977 hingga 1985 dalam menentang gerila dan sebagainya.

Datuk Seri Musa Aman menyaksikan majlis serah terima tugas Komander ESSCOM yang baharu, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (kanan), menggantikan Datuk Abd Rashid Harun (kiri) di Pejabat Ketua Menteri semalam. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman menyaksikan majlis serah terima tugas Komander ESSCOM yang baharu, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (kanan), menggantikan Datuk Abd Rashid Harun (kiri) di Pejabat Ketua Menteri semalam. – Bernama

Sehubungan itu, beliau berkata segala pengalaman bertugas yang diperolehi sebelum ini akan digunakan sepenuhnya dalam menangani situasi semasa di Sabah.

“Saya berharap berupaya mengadaptasinya. Penggiliran (rotation) dalam (perkhidmatan) polis ini (membuatkan) kita melalui bermacam-macam perkara dan berharap ia tidak menjadi satu masalah besar kepada saya,” katanya.

Pada majlis sama, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan menerima tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Esscom yang baharu menggantikan Ruji Ubi berkuat kuasa hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang menyaksikan majlis serah terima tugas itu berharap pimpinan baharu Esscom akan terus bergerak lancar dan mantap serta meneruskan kecemerlangan pimpinan sebelum ini.

Musa mewakili rakyat Sabah turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Rashid dan Ruji atas khidmat bakti dicurahkan sebelum ini dalam memastikan keselamatan negeri terjamin.