Bos Bayern pertahankan Wenger

MUNICH, 16 Feb – Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti mempertahankan pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yang teruk dikecam, untuk menerajui Arsenal keluar daripada kemerosotan mereka, meskipun selepas Arsenal dibelasah teruk dengan jaringan 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Jerman.

Pemerintahan Wenger selama 20 tahun sebagai jurulatih Arsenal kini di bawah tekanan selepas kekalahan mereka kepada Bayern yang diinspirasikan persembahan menarik Thiago Alcantara.

The Gunners sukar menandingi persembahan tajam separuh masa kedua tuan rumah di Allianz Arena dan berdepan perlawanan sukar bagi peringkat 16 pasukan terakhir, yang akan diadakan pada 7 Mac di Stadium Emirates.

Tetapi Ancelotti percaya warga Perancis itu mempunyai pengalaman yang secukupnya untuk mengeluarkan Arsenal daripada kesuraman yang dihadapi kelab tersebut pada ketika ini.

“Ini adalah bola sepak, Arsene mempunyai pengalaman yang cukup untuk menangani keputusan perlawanan seperti ini dan terus maju, ia hanya satu perlawanan,” kata Ancelotti.

Ketua jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti (kiri) dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika berada di petak teknikal masing-masing dalam pertembungan Bayern Munich dan Arsenal. – AFP
Ketua jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti (kiri) dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika berada di petak teknikal masing-masing dalam pertembungan Bayern Munich dan Arsenal. – AFP

Ancelotti memberikan pujian apabila pasukan kendaliannya, Bayern mempamerkan persembahan terbaik sejak dia menggantikan Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih musim ini.

Dia menganggap aksi Thiago selama 90 minit dengan memainkan peranan pemain tengah menyerang sebagai ‘sempurna’.

“Thiago bermain dengan sangat baik, kami menempatkannya di posisi antara barisan mereka (pasukan lawan). Itu bermakna dia menutup ruang mereka dan memberikan kami lebih banyak ruang,” kata Ancelotti.

“Persembahannya sangat, sangat baik, ia sangat sempurna.

“Ia adalah persembahan terbaik pasukan sejak saya berada di sini, tetapi ia bukan muktamad, kerana malangnya masih ada satu lagi perlawanan untuk dihadapi.”

Warga Itali itu kini mengalihkan perhatiannya bagi perlawanan kedua di laman lawan, yang mungkin menyaksikan Bayern akan menyingkirkan Arsenal buat kali keempat. – AFP