Bos bola sepak Nepal, Laos kena tindakan FIFA

Bos bola sepak Nepal, Laos kena tindakan FIFA

BERLIN, 17 Nov (dpa) – Jawatankuasa Etika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengharamkan presiden persekutuan bola sepak Nepal dan Laos berhubung insiden rasuah di sekitar dua pemilihan delegasi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi jawatankuasa eksekutif badan induk bola sepak itu.

Jawatankuasa Etika berkata semalam bahawa Ganesh Thapa dari Nepal dikenakan pengharaman selama 10 tahun dan denda sejumlah 20,000 Swiss francs (AS$19,900) kerana beliau “melakukan beberapa salah laku selama beberapa tahun, termasuk menerima bayaran tunai daripada pegawai bola sepak lain, untuk kemudahan peribadi dan keluarga.”

Salah laku terbabit berkaitan dengan pemilihan pada 2009 dan 2011 bagi tempat untuk jawatankuasa eksekutif FIFA di kongres AFC.

Presiden persekutuan Laos Viphet Sihachakr pula dikenakan pengharaman selama dua tahun dan denda 40,000 Swiss francs kerana beliau “meminta dan menerima bayaran tunai daripada pegawai bola sepak lain” sekitar pemilihan anggota dari Asia bagi eksekutif FIFA pada 2011 di kongres AFC.