Bos England akui sedikit gentar

Bos England akui sedikit gentar

LONDON, 4 Sept – Pengurus baru England, Sam Allardyce mengakui sedikit gementar apabila mengetuai skuad kebangsaan buat pertama kali pada perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Slovakia awal pagi esok.

Pengendali berusia 61 tahun itu menghabiskan hampir keseluruhan karier pengurusannya di Liga England, mengetuai Bolton Wanderers, Newcastle United, West Ham United dan Sunderland antaranya, namun dia sentiasa menyasarkan untuk tugasan bersama England selaku karier kemuncaknya.

Selepas dinamakan sebagai pengganti Roy Hodgson berikutan kekecewaan England pada kempen Euro 2016, dia akan memenuhi impiannya apabila mengambil alih tugasan skuad kebangsaan di Trnava.

“Saya rasa pasti gementar,” kata Allardyce. “Setiap tugasan baharu yang anda dapat, anda akan gementar. Anda harap pemain akan keluar bermain dan memberikan apa yang anda mahukan – kejayaan.

Sam Allardyce ketika mengendalikan latihan untuk anak-anak didiknya. – AP
Sam Allardyce ketika mengendalikan latihan untuk anak-anak didiknya. – AP

“Ia akan menjadi sesuatu yang membuatkan rasa gementar pada tahap awal. Tetapi apabila sudah bermula dan saya tidak akan dengar lagi sorakan penonton.

“Saya akan fikirkan mengenai bagaimana untuk berkomunikasi dengan pasukan untuk melakukan perubahan yang saya perlukan,” katanya.

Pada perlawanan itu juga beliau tidak akan memainkan Dele Alli, Daniel Sturridge dan Chris Smalling dalam pasukan kesebelasan utama. – AFP