Bos kelab bola sepak Algeria digantung

Bos kelab bola sepak Algeria digantung

ALGIERS, 7 Jun – Pengerusi kelab bola sepak Algeria digantung dari sebarang penglibatan sukan bola sepak bagi tempoh seumur hidup hari ini, selepas berkata di saluran televisyen pengaturan perlawanan kini sudah meluas dan mengaku dia juga berbuat demikian.

Bulan lepas, Abdelmadjid Yahi menyalahkan kelabnya US Chaouia gugur ke divisyen ketiga akibat ‘pengaturan’ di antara dua musuh, dan berkata pengaturan sebegitu sudah ‘secara meluas diketahui’ dalam sukan itu.

Dia kemudian berkata bahawa dia juga pernah terlibat dalam pengaturan perlawanan sebelum ini.

Yahi, yang telah sekian lama menjadi pengerusi US Chaouia hampir 25 tahun, telah menerima padah daripada pihak berkuasa badan bola sepak negara itu dengan dikenakan ‘penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak,” menurut laman sesawang liga profesional itu.

Dia juga didenda 200,000 dinar (AS$1,825).

“Pihak berkenaan telah mengakui mengatur perlawanan dengan bayaran yang dibuat dengan duit poketnya sendiri,” menurut laman sesawang itu merujuk kepada Yahi.

“Sikap sebegitu sama sahaja dengan perbuatan korupsi yang menjejaskan integriti persaingan bola sepak,” dan dilarang di bawah “peraturan perlawanan itu dan oleh kod disiplin Persekutuan Bola Sepak Algeria,” katanya. – AFP