Bos Man City mahu Aguero jadi lebih baik

Bos Man City mahu Aguero jadi lebih baik

SWANSEA, 25 Sept – Pep Guardiola berhasrat untuk menjadikan Sergio Aguero sebagai seorang pemain yang lebih baik dan lengkap.

Penyerang antarabangsa Argentina itu menjaringkan dua gol selepas kembali ke dalam skuad City dengan pasukan pelawat merekodkan 10 kemenangan dalam liga dan saingan piala musim ini hasil kejayaan menewaskan Swansea 3-1, malam tadi.

Selepas terlepas tiga perlawanan sebelum ini kerana digantung, Aguero hanya mengambil masa lapan minit bagi meletakkan City di depan.

Fernando Llorente menyamakan kedudukan lima minit kemudian tetapi sepakan penalti Aguero pada minit ke-65 dan gol ketiga daripada Raheem Sterling ketika perlawanan berbaki 13 minit melengkapkan kemenangan City.

Sergio Aguero menyumbangkan salah satu jaringan buat Manchester City pada perlawanan tersebut. - AP
Sergio Aguero menyumbangkan salah satu jaringan buat Manchester City pada perlawanan tersebut. – AP

Kejayaan itu menyaksikan anak buah Guardiola sudah merekodkan enam kemenangan berturut-turut dalam saingan liga musim ini.

Pengendali dari Sepanyol itu gembira dengan kemenangan berkenaan tetapi masih mahu pemainnya memberikan yang lebih termasuk Aguero yang menjaringkan 11 gol daripada enam perlawanan setakat ini.

“Saya mahu ucapkan tahniah kepada Aguero di atas prestasinya terutama untuk gol pertama. Saya gembira untuk dia, tetapi saya fikir dia boleh bermain dengan lebih baik lagi dan saya akan bercakap dengannya.

“Dia mempunyai kemahiran yang hebat di dalam kotak penalti, tiada apa yang boleh saya lakukan lagi untuk membantunya. Namun, mungkin saya boleh bantu dia menjadi lebih baik seperti mengawal bola dan membantu seluruh pasukan,” kata Guardiola. – AFP