BOSF-USM kumpul dana selamatkan Orang Utan

BOSF-USM kumpul dana selamatkan Orang Utan

GEORGE TOWN, 15 Dis (Bernama) – Yayasan Pemuliharaan Orang Utan Borneo (BOSF) menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengumpulkan dana untuk melaksanakan usaha menyelamatkan Orang Utan di sekitar kawasan Kalimantan dan Sumatera.

Ketua Pegawai Eksekutif BOSF, Dr Ir Jamartin Sihite berkata langkah itu selari dengan usaha untuk melindungi spesies tersebut dan meningkatkan kerjasama penyelidikan pemeliharaan orang utan yang semakin pupus pada masa kini.

“Mengikut data yang dikumpulkan pada 2004, terdapat 60,000 orang utan direkodkan di Indonesia dan Malaysia dengan 15 hingga 20 peratus di Sabah dan Sarawak bagaimanapun setiap tahun jumlah itu berkurangan sehingga 30 peratus.

“Sekarang jumlah orang utan hanya kira-kira 35,000 hingga 40,000 disebabkan pelbagai faktor terutama masalah kebakaran hutan dan jerebu yang melanda di kawasan habitat orang utan setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Tabung Dana Pemuliharaan Orang Utan 2015 di USM, di sini, hari ini.

Pelancaran tabung itu dilaksanakan dengan kerjasama USM, Persatuan Primatologi Malaysia (MPS), Persatuan Primatologi Antarabangsa (IPS) dan ALKN (Asian Local Knowledge Network).

BOSF merupakan sebuah badan bukan kerajaan di Indonesia yang menjalankan pemuliharaan orang utan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk di peringkat antarabangsa.

Jamartin berkata kebakaran hutan dan jerebu yang berlaku turut menyebabkan orang utan kehilangan habitat sekitar 300 hektar di kawasan hutan di Kalimantan.

Katanya pihaknya juga akan melaksanakan program pengiraan semula orang utan pada tahun depan bagi mendapatkan data jumlah orang utan yang masih ada di hutan sekitar Kalimantan dan Sumatera.

“Setiap tahun BOSF membelanjakan kira-kira US$6 juta bagi pemuliharaan orang utan termasuk kos perbelanjaan 700 ekor orang utan yang berada di pusat BOSF dan kami juga memberi pendidikan dan kesedaran kepada penduduk di kawasan berhampiran hutan yang didiami spesies berkenaan bagi membantu haiwan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPS yang juga Pensyarah Kanan di USM, Prof Dr Mashhor Mansor berkata pemuliharaan orang utan adalah langkah untuk memastikan spesies itu menjalani kehidupan selamat dan terhindar daripada kerosakan alam sekitar yang berpunca oleh manusia.

Katanya sekiranya usaha itu tidak dilaksanakan spesies berkenaan dijangka akan pupus menjelang tahun 2020.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh melayari laman sesawang www.orangutan.or.id untuk maklumat lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA