Bot China dikehendaki Interpol ditahan di Indonesia

Bot China dikehendaki Interpol ditahan di Indonesia

JAKARTA, 24 April – Kapal perang Indonesia telah menahan sebuah kapal pukat tunda China yang dipercayai beroperasi secara haram di perairan Indonesia, hanya beberapa minggu selepas konfrontasi antara kapal-kapal dari dua buah negara yang mengakibatkan ketegangan, menurut tentera laut hari ini.

Kapal pukat tunda itu dipintas oleh dua kapal laut pada Jumaat selepas menerima maklumat mengenai sebuah kapal yang dikehendaki oleh Interpol di Argentina telah dikesan di Aceh, di barat laut Sumatera, jurucakap tentera laut, Edi Sucipto memberitahu AFP.

Bot itu telah dibawa ke pangkalan tentera laut di Belawan, Utara Sumatera bagi siasatan.

“Kami pada masa ini sedang menyoal siasat kru untuk mengetahui lebih lanjut tentang kes itu,” kata Sucipto, menambah bahawa seorang daripada mereka mendapat luka tembakan di kakinya.

“Bukan para pegawai kami yang menembaknya, dia kemungkinan telah ditembak oleh pihak berkuasa Argentina,” ujarnya.

Gambar yang diambil pada 23 April menunjukkan tentera laut Indonesia menahan anggota kru kapal pukat tunda China ‘Hua Li-8’ di Belawan, Utara Sumatera. – AFP
Gambar yang diambil pada 23 April menunjukkan tentera laut Indonesia menahan anggota kru kapal pukat tunda China ‘Hua Li-8’ di Belawan, Utara Sumatera. – AFP

Kapal pukat tunda China itu sebelumnya dilaporkan telah menangkap ikan secara haram di perairan Argentina lewat Februari.

Pasukan Argentina pada Mac melepaskan tembakan dan mengaramkan sebuah bot China yang secara haram menangkap ikan di Selatan Atlantik selepas ia cuba melanggar kapal pengawal pantai.

Indonesia pada 2014 telah melancarkan tindakan keras ketat ke atas penangkapan ikan haram yang melibatkan kapal-kapal asing dikaramkan yang didapati menangkap ikan tanpa permit selepas menawan bot itu dan memindahkan kru-krunya.

Menteri luar negerinya membantah ke Beijing selepas pengawal pantai China bulan lalu menghentikan bot rondaan Indonesia daripada menahan kapal pukat tunda China. – AFP